Monday, December 05, 2011

PERIBAHASA

MAKSUD PERIBAHASA

      Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda.

      Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005:1185) peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidalan dan pepatah.

       Menurut Kamus Pelajar cetakan ke-12, Terbitan Khas KBSM (1995) pula mendefinisikan peribahasa sebagai bidalan, pepatah, ayat atau kelompok kata yang tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu.


 CIRI DAN TUJUAN PERIBAHASA

      Peribahasa dikatakan sebagai cerminan watak bangsa yang dimilikinya. Di samping itu, peribahasa juga penting dalam konteks penelitian warisan dan keterampilan pengguna bahasa. Ini kerana dalam peribahasa tersirat makna yang cukup mendalam dan tepat sehingga membolehkan komunikasi lisan atau tulisan lebih lancar dan berkesan.

      Peribahasa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Peribahasa dikatakan mempunyai susunan perkataan yang indah dengan maksud yang benar dan logik hasil daripada kecekapan berbahasa masyarakat Melayu.


JENIS-JENIS PERIBAHASA


1)  SIMPULAN BAHASA

      Kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada  perkataan yang digunakan.

Contoh Simpulan Bahasa dan maksudnya.

a) ada angin                    - berkelakuan luar biasa pada sesuatu ketika
b) air muka                     - rupa atau wajah seseorang
c) ayam tambatan           - orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan
d) berat hati                    - enggan; malas
e) berat mulut                  - pendiam atau tidak suka bercakap banyak
f) buah tangan                 - hadiah yang dibawa ketika melawat seseorang
g) cakar ayam                 - tulisan yang buruk
h) campur tangan            - turut serta atau mencampuri urusan orang lain
i) cari jalan                      - berusaha atau berikhtiar melakukan sesuatu
j) hidung tinggi                 - sombong atau tinggi diri
k) langkah kanan             - bernasib baik
l) makan angin                - bersiar-siar untuk berehat
m) naik angin                  - terlalu marah
n) otak cair                     - pitar atau cerdik
o) titik peluh                   - hasil usaha yang bersungguh-sungguh


2)  PERUMPAMAAN

      Susunan kata-kata yang indah, ringkas dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat. Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti, dan umpama.

Contoh perumpamaan dan maksudnya.

a) Bagai aur dengan tebing              - tolong -menolong antara satu dengan yang lain
b) Bagai bulan dipagari bintang       - kecantikan gadis yang tiada bandingannya
c) Bagai isi dengan kuku                 - persahabatan yang sangat erat
d) Bagai kacang melupakan kulit     - orang yang tidak tahu mengenang budi
e) Bagai itik pulang petang              - berjalan lambat sekali
f) Seperti api dalam sekam              - dendam; perbuatan jahat yang tersembunyi
g) Seperti ayam berak kapur           - muka pucat dan tidak bermaya
h) Seperti langit dengan bumi           - perbezaan yang amat ketara
i) Seperti tikus jatuh ke beras          - memperoleh kekayaan yang tidak disangka-sangka
j) Seperti ular kena palu                  - jalan atau barisan yang bengkang-bengkok


3)  PEPATAH

      Seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah.

Contoh pepatah dan maksudnya.

a) Genggam bara api, biar sampai jadi arang  - bersabar melakukan kerja yang susah sehingga berjaya
b) Biar putih tulang, jangan putih mata            - rela mengorbankan nyawa daripada menanggung malu
c) Harapkan pagar,pagar makan padi            - percaya akan orang yang mengkhianati kita
d) Buang yang keruh, ambil yang jernih          - buang yang jahat ambil yang baik
e) Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing    - bekerjasama dan saling menolong


4)  BIDALAN

      Susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan dan pengajaran.

Contoh bidalan dan maksudnya.

a) Daripada cempedak baiklah nangka              - lebih baik ada daripada tiada langsung
b) Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut     - menyimpan rahsia
c) Biar titik jangan tumpah                                 - biar rugi sedikit jangan rugi banyak
d) Bertanjak baharu tinjau                                 - membuat kerja ikut aturan
e) Biar senget, jangan tertiarap                          - biar rugi sedikit daripada rugi banyak


5)  PERBILANGAN

      Perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau. Perbilangan adat ini berasal dan berkembangan di daerah Minangkabau dan Palembang yang dikenali sebagai 'Adat Minangkabau'. Di Malaysia, perbilangan adat ini banyak diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu dipergunakan dalam Adat Pepatih.


6)  KATA HIKMAT

      Kata-kata pujangga, ulama atau orang bijak pandai. Kata hikmat dijadikan pedoman hidup dan percakapan umum. Bentuknya ringkas tetapi mempunyai maksud yang benar dan dalam serta berupa nasihat, panduan dan peringatan serta dijadikan pedoman hidup. Contohnya 'Bahasa Menunjukkan Bangsa', Bersatu Teguh bercerai. Roboh', dan sebagainya.